Teknologi : Skype lite dilancarkan

PERUMUS komunikasi Internet terkemuka, Skype melancarkan Skype versi Lite sebagai perisian klien ‘thin’ yang boleh dipindah turun ke dalam peranti mudah alih dikuasai oleh Android dan lebih 100 telefon bimbit berkeupayaan Java.
Pelancaran yang dibuat pada pameran Elektronik Pengguna Antarabangsa (CES) 2009 di Las Vegas minggu lalu, selepas mendapat maklum balas daripada edaran versi beta dan ujian kepada pengguna yang dilakukan tahun lalu.

Dengan adanya versi beta yang sudah dikemas kini, ia sekali gus menjadikan perisian Skype itu didapati secara meluas di seluruh dunia termasuk pertama kali ia diperkenalkan di Amerika Syarikat.Antara keupayaan teras yang ada pada Skype versi lite itu termasuk membolehkan panggilan Skype-ke-Skype ke lain-lain pengguna Skype di mana saja di seluruh dunia; mengirim dan menerima pesanan segera kepada/dari individu atau kumpulan; menjimatkan kos panggilan sama ada ke talian tetap atau talian tanpa wayar; menerima panggilan ke nombor peribadi online Skype; dan pengguna boleh nampak senarai hubungannya yang sedang online.
Menurut ketua pegawai operasinya, Scott Durchslag, dengan membawa perisian komunikasi Internet ke dalam telefon bimbit, pengguna boleh menjimatkan kos panggilan ke talian tetap atau telefon bimbit di seluruh dunia, selain dapat memberikan pengguna satu persekitaran yang sentiasa terhubung dengan keluarga atau rakan.
Versi lite ini boleh beroperasi sebaik telefon bimbit itu dihidupkan tanpa perlu penyambungan kepada sistem capaian tanpa wayar WiFi. Selain telefon bimbit Android T-Mobile G1, ia boleh dipindah turun oleh beberapa jenama telefon terkemuka lain termasuk Nokia, Motorola, LG, Samsung dan Sony Ericsson. Ia boleh dipindah turun terus dari www.skype.com/m (jika menggunakan telefon) dan www.skype.com/go/mobiledownload (menggunakan komputer peribadi).

Comments

Popular Posts