Wednesday, October 29, 2008

Mekanik anda : Myvi SE lebih mantap, bergaya


BAGI menghadapi persaingan dunia automobil, Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua) melancarkan model Myvi SE yang dikatakan lebih mantap dan bergaya saing.Model yang dikhususkan kepada golongan muda itu mengalami beberapa perubahan termasuk bentuk bumper baru, padanan kulit sepenuhnya dan sistem audio yang terkini.

Paling mengujakan, lampu belakang jernih dengan 'led' serta spoiler lebih lebar menambahkan lagi rupa sporty kenderaan kompak terlaris berkenaan.Pengarah Urusan Perodua, Datuk Syed Abdull Hafiz Syed Abu Bakar, yakin pelancaran model Myvi SE itu mampu melonjakkan prestasi jualannya sebanyak 30 peratus sehingga akhir tahun ini.

"Dengan wajah yang lebih bergaya, saya yakin Myvi SE terbaru ini boleh dijual antara 2,500 hingga 3,000 unit sebulan."Model ini disasarkan kepada pelanggan muda yang inginkan kenderaan kompak yang selesa serta memiliki ciri lebih bergaya," katanya.Katanya, selepas memperkenalkan Myvi SE pertama tahun lalu, pihaknya menerima maklum balas positif daripada pelanggan.


"Ini memberi semangat kepada kita untuk menghasilkan sebuah model kenderaan yang lebih kompetetif dan bergaya," katanya.Antara perubahan dalaman yang dipertingkatkan adalah meter Optiron berwarna merah, stereng dan kerusi balutan kulit dan sistem audio baru yang berupaya memainkan cakera padat (CD), MP3, WMA, USB dan teknologi Bluetooth.Untuk bahagian luaran, ia dipadankan dengan bamper lebih bergaya, lampu depan gelap, pemecah angin lebar, lampu anti-kabus lebih besar, skirt sisi dan rim sport aloi permukaan berkilau.

Model terbaru itu didatangkan dengan warna baru, Tangerine Orange serta empat lagi warna pilihan iaitu Hitam, Putih, Kelabu dan Putih Mutiara.Model Myvi SE 1.3 GHS (Manual) dan 1.3 ZHC (Automatik) dijual pada harga atas jalan termasuk insurans antara RM49,900 hingga RM53,800.

No comments: