Catatan #3 - Kehidupan di Tanah Tinggi Cameron Highland - "Ramadhan Dingin"



"Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan kebajikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa api neraka."

Malam ini, malam ganjil terakhir bagi Ramadhan 1440H. Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah atas pinjaman nyawa untuk saya terus menikmati malam-malam berkah ini. Setelah hampir 11 tahun saya berpuasa di Selangor/Kuala Lumpur, tahun ini saya berpuasa di Pahang Darul Makmur.

Lebih istimewa lagi, ini kali pertama saya berpuasa di tanah sejuk. Nyaman sungguh. Ramadhan ini juga kali pertama saya dapat mengutip pengalaman menunaikan ibadat Puasa dan seterusnya berterawih di Indonesia, negara Muslim teramai di dunia.

Tiada beza pun puasa di sini sebenarnya di Cameron Highland berbanding di tempat-tempat lain di Malaysia. Cumanya pengalaman berpuasa dalam keadaan suasana agak "sejuk" dan "nyaman", sedikit sebanyak memberi momen baru untuk saya.



Sepanjang berpuasa di Cameron Highland, satu perkara yang jarang saya hadapi adalah masalah "haus/dahaga". Memang kawasan ini betul-betul memberi kelebihan pada masalah ini. Malah kalau ke bazar sekali pun boleh dikira berapa banyak gerai yang menjual air. Kalau di Tanah Rata ini, rasanya hanya 3 gerai sahaja yang menjual air.

Berbalik pada bazar, yang berdekatan di sini cumalah di Tanah Rata dan Berinchang. Saiz bazar tidak terlalu besar dan pilihan makanan agak terhad. Bagi saya yang tekak "Jawa" ini, bazar di Tanah Rata dan Berichang agak mengecewakan. Bukan tekak saya.

Kebanyakan penjualnya adalah orang Pantai Timur. Jadinya kebanyakkan makanannya terdiri dari Nasi Kerabu. Malah lauk pauk pun tidak pedas dan lebih manis. Gerai kuih-muih pula ramainya orang Indonesia yang menjualnya. Ada juga beberapa gerai yang dijual oleh orang pelajar pondok di sini (saya rasa).

Hari pertama berpuasa, betul-betul bukan rezeki, kuah nasi tomato basi. Nasi dan ayam masa beli nampak baik, cumanya kuah diikat, jadi balik rumah baru tahu kuahnya dah basi. Karipap angin, inti kuih ketayap basi, air penuh dengan ais sahaja, Roti John penuh mayonis dan macam macam lagi yang saya rasa di sini. Nak komen lebih pun, malas. Lagipun tahun ini saya agak malas nak masak, jadinya apa yang di bazar jadi juadah berbuka saya.

Dari segi harga, saya tak pasti harga bazar lain, tapi agak mahal. Lauk dengan sayur tanpa nasi paling minimum pun RM 11 di sini. Roti John boleh jejak RM 8. Kalau kuih yang lain sedikit, boleh jejak RM 2.50 sepotong/sebiji. Disebabkan tak banyak pilihan layanlah sahaja. Kadang-kadang kalau dah bosan, tempah saja makanan di kedai sebelah blok tempat tinggal. Mahal sedikitlah jadinya.

Disebabkan cuaca yang sejuk dan nyaman, saya akan berjalan kaki ke bazar yang jaraknya dalam 1 KM dari tempat tinggal saya. Cumanya masa pergi ok, masa balik tercungap-cunggap juga sebab naik bukit. Selalunya kalau hari cuti, saya akan turun awal sedikit selepas Asar untuk berjalan dari tempat tinggal sehingga ke Hospital Sultanah Hajah Kalsom dan naik semual ke Puncak Arrabela. Nak kekal 'fit' kononnya.

Saya ambil keputusan untuk banyak berada di CH sahaja Ramadhan ini. Rasa macam tak berbaloi naik turun Cameron Highland - KL - Muar. Jadinya banyak juga buku-buku yang saya dapat habiskan. Antaranya Doktor Umum oleh Tun M dan Penghayatan Sebual Ideal Suatu Tafsiran Tentang Islam semasa oleh Muhammad Abu Bakar. Banyaknya habis masa di rumah sahaja. Nak 'hiking' atau 'running' dah tentu tak larat. Kita besarkan perut ja kat rumah. Hahahahaha.


Di samping rehat membaca, seringlah juga saya melihat media sosial dalam Ramadhan ini walaupun saya berjanji untuk kurangkan masa pada media sosial dalam bulan ini. Seronok tengok kawan-kawan berbuka sama. Tahun ini kali pertama juga saya tak dapat memenuhi mana-mana undangan berbuka. Sebabnya saya berada di sini dan semua jemputan berbuka adalah di Kuala Lumpur atau Selangor. Nak juga turun berbuka sama, tapi rugi masa, duit. Insyallah ada masa dan waktu, kita berbuka bersama.

Cumanya sedih bila baca komen-komen di media sosial. Ingatkan bulan mulia ni kuranglah sikit bahasa-bahasa kesat ini. Tapi rupanya sama sahaja dashyatnya bahasa hina menghina, caci mencaci dan fitnah menfitnah. Korang tak tak takut ke apa yang korang tulis tu akan menjadi pemberat di hari penentuan. Takut saya membacanya. Kadang-kadang berderau darah.

Banyak nasihat dan peringatan diberikan akan bahayanya fitnah dan betapa besarnya dosa melakukan pertuduhan palsu terhadap seseorang atau mereka-reka berita yang tidak benar tentang sesuatu perkara. Mereka berdalilkan dua ayat al-Qur’an yang sering dipetik untuk menyokong pernyataan tersebut:

وَالْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ

Maksudnya: ... dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan...

(Surah Al-Baqarah: 191)

وَالْفِتْنَةُ أَكْبَرُ مِنَ الْقَتْلِ

Maksudnya: Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan.

(Surah Al-Baqarah: 217)

Di ambil dari: http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2476-irsyad-al-fatwa-234-benarkah-dosa-memfitnah-lebih-besar-daripada-dosa-membunuh


Dah dua tahun saya tidak beli baju raya. Sebabnya banyak baju raya saya yang tergantung dan pakai sekali sekala sahaja. Kalau solat jumaat saya lebih suka pakai kurta sahaja. Kalau ikutkan saya ni pemboros, tapi saya berubah selepas membaca buku "Minimalism : Live a Meaningful Life" oleh Joshua Fields Millburn , By (author) Ryan Nicodemus. Walaupun buku ni ringkas, tapi betul-betul memberi kesedaran pada saya.

Saya amalkan "The Six-Month Clutter Rule" yang mana "The next time you decide to declutter, make a commitment to get rid of anything you haven’t used in the past six months. Generally speaking, if you haven’t used something in six months, you’re almost surely never going to use it."

Berbalik pada Baju Raya, disebabkan dah dua tahun saya tidak membeli baju, akhirnya desakan nafsu, terbelilah juga. Tapi yang biasa-biasa sahaja. Itupun cuma baju sahaja. Seluar tak beli pun. Beli dekat Uniqlo Ipoh sahaja.

Di kawasan Tanah Rata ini cuma ada satu masjid sahaja. Satu di Berinchang dan satu di Ringlet. Tiada pilihan. Tapi untuk solat terawih, banyak surau perumahan yang mengadakan ibadat solat ini. Saya lebih suka di masjid. Lebih selasa dan luas.

Setiap kali untuk ke masjid, kalau di sini saya terpaksa memakai baju sejuk kerana suhu yang agak sejuk. 18C. Saya naik motor sahaja. Di Tanah Rata ini, masjidnya Masjid Abu Bakar Tanah Rata yang kedudukan agak tinggi di atas bukit. Tapi bila dah masuk, nyaman sahaja dalamnya. Terawih di sini 8 rakaat, dipertengahan ada tazkirah ringkas dan diakhiri dengan witir.

Dugaan terawih kat masjid ini, pertama, sejuk yang amat sangat sebab saya pergi naik motor, dan keduanya, hujan!!!. Satu perkara yang saya perasan duduk di Cameron Highland ini, cuacanya selalu mendung dan berkabus walau pun tengahari. Tiba-tiba cerah, tiba-tiba hujan. Kadang-kadang tu, tengok macam baik je, tiba-tiba hujan selebat-lebatnya. Banyak kali basah lecun dek hujan.

Tapi, satu benda yang paling seronok terawih di sini, ini kali pertama, saya tak pernah berpeluh dalam masa sebulan. Kalau solat di Klang dulu, kalau cuaca panas waktu malam dan tak berada dekat dengan kipas masa solat dalam masjid, mahu lecun juga. Nyaman sahaja solat di sini. Alhamdulillah.

Hari-hari terakhir di Masjid Abu Bakar, tiada berbeza sangat dengan lain-lain masjid di Malaysia amnya. Kini tinggal 6 saf sahaja. Tiada lagi bunyi bising kanak-kanak. Tiada lagi bersesak mendaki bukit, malah banyak ruang kosong tempat letak kereta. Tiada lagi tazkirah, malah moreh pun tak semewah malam-malam sebelum ini.

“Ya Allah, perjalankanlah bulan ini kepada kami dengan penuh kebajikan dan iman, serta keselamatan dan Islam. Rabb-ku dan Rabb-mu (bulan) adalah Allah.”

Rasa masa berjalan begitu pantas, terlalu pantas untuk dihitung. Masih terasa baru semalam bermula Ramadhan. Sejenak sahaja rasanya. Hari ini dah hari terakhir rupanya. Sebak pula rasanya bila memikirkan betapa banyaknya masa dibuang di bulan ini tanpa sengan silu tidak mengejar "berkah" bulan mulia ini.

“Ya Allah, sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan, sampaikanlah bulan Ramadhan kepada kami, dan terimalah amalan-amalan kami.” (Lihat: Lathaif Al-Ma’arif, Hal: 158)

Pada kesempatan ini, saya ingin memohon ampun dan silap atas segala salah dan silap saya. Doakan agar Ramadhan ini Ramadhan terbaik untuk kita semua. Saya cumalah seorang pendosa yang mencari keampunan Allah, jauh sekali dikalangan mereka yang baik-baik. Mohon rakan-rakan doakan agar saya dan semua sentiasa dalam hidayahnya. Ameen.

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin. Assalammualaikum :)

Comments

Popular Posts