Benarkah wujud proksi Pak Lah, Mahathir dan Najib?

MENARIK saya membaca tulisan Zubaidah Abu Bakar dalam NST semalam apabila beliau mengaitkan pertarungan calon Ketua Pemuda UMNO antara Khairy Jamaluddin dan Mukhriz Mahathir sebagai a proxy battle between Abdullah Ahmad Badawi and Tun Dr. Mahathir Mohamad. Walaupun petikan itu jarang- jarang atau segan disebut secara langsung oleh media arus perdana sebelum ini, tapi ia adalah realiti. Pemerhati UMNO yang kata begitu, menurut Zubaidah. Khairy sebagaimana semua tahu ialah menantu Abdullah dan Mukhriz ialah anak Mahathir.

Tapi benarkah wujudnya proksi sebegitu? Jika benar, nampaknya Dr. Khir Toyo sedang menghadapi masalah untuk bersaing dengan kedua-dua mereka. Lebih teruk lagi tentulah Zahidi Zainul Abidin yang sehingga hari ini hanya mendapat satu pencalonan - itupun dari bahagiannya sendiri. Jika trend proksi itu wujud, Dr. Khir proksi siapa? Dan bagaimana pula Zahidi?

Bagi kem Dr. Khir, mereka sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan pencalonan angka 38 itu cukup bagi membolehkan beliau layak bertanding Mac nanti. Setakat semalam, Dr. Khir mendapat 12 pencalonan. Akhir minggu ini, kemnya meramalkan mereka hanya akan memperolehi 30 ke 35 pencalonan.

"Tapi, persaingannya terlalu sengit," kata Dr. Khir yang ditemui di majlis hari terbukanya di Tanjung Karang, minggu lalu.

"Aliran tunai terlalu kuat Zaini," katanya kepada saya semacam kecewa. Saya hanya mengangguk-angguk kepala, tanda faham maksudnya itu. Tapi sebagaimana yang kita semua tahu itu jugalah realitinya. Wang di mana-mana. Perlu disebut, ketika ini ia hanyalah pertandingan di peringkat untuk mendapatkan pencalonan dan bukan pun lagi pertandingan sebenar. Bayangkan jika pertandingan sebenar kelak yang hanya melibatkan sekitar 2,000 perwakilan sahaja!

Walaupun wang merupakan satu faktor, faktor kem atau proksi-proksi juga menjadi cabaran kepada calon-calon yang bertanding. Jika salah masuk proksi, maka pencalonan akan ke proksi lain.

Banyak 'pihak tertentu' yang bukan calon sedang bergerak ke hulu ke hilir mendakwa diri mereka mewakili kem-kem dan tokoh-tokoh besar tertentu untuk mempengaruhi perwakilan mengundi calon-calon mereka. Walaupun, pucuk-pucuk pimpinan itu sendiri tidak sedar mengenai perkara itu, namun ia berlaku.

Faktor 'restu' sedang mempengaruhi perjalanan pemilihan ini. Faktor jatuh-menjatuh pun sedang berlaku. Ada yang menggelarkan 'itu orang dulu' dan kita kena pilih 'orang baru'.
Sebab itu jugalah mungkin istilah proksi, seperti yang disebut oleh Zubaidah itu kedengaran. Proksi Abdullah-Mahathir itu mungkin hanya melihatkan antara dua pihak bagi pertandingan Pemuda sahaja, tapi bagaimana pula dengan pertandingan di peringkat pucuk pimpinan tertinggi?

Pada peringkat itu, ia mungkin bukan lagi melibatkan proksi Abdullah-Mahathir, tapi mungkin sudah dikaitkan dengan proksi Najib Tun Razak pula. Betulkah berlaku begitu?

Dalam keadaan sekarang mungkin semua orang mahu berpusu-pusu masuk ke kem atau menjadi proksi Najib. Jika melihatkan trend sekarang banyak yang menang atau yang telah melepasi pencalonan, dikatakan dari kem-kem yang dikaitkan dengan Najib.

Seorang rakan sambil bergurau berkata, jika semua orang masuk ke kem Najib, maka tiada kemlah. Betul juga katanya, jika semua orang mendakwa dia adalah dalam kem Najib, maka adillah pertandingan kali ini. Tidak perlulah merungut jika kalah.

Apa yang nyata, semua pihak dapat melihat bahawa trend pemilihan kali ini lebih terbuka dan para perwakilan bijak membuat pemilihan. Berdasarkan calon-calon MT yang sudah layak bertanding didapati mereka kebanyakannya terdiri daripada muka-muka baru, dan calon yang terbukti boleh buat kerja dan mempunyai trek rekod yang baik. Muka-muka lama pula nampaknya tercorot ke belakang. Yang mana merasakan sudah tercorot, dan tidak boleh diselamatkan lagi, ada pihak menyaran mereka berundurlah secara sukarela.

Bagaimanapun, masa masih ada untuk memastikan barisan kepimpinan UMNO yang sedang disaring itu terdiri daripada calon-calon yang lebih berwibawa dan boleh membela nasib bangsa, agama dan negara.

Dalam situasi yang semakin mencabar ini, kita mahu melihat pemimpin UMNO lebih terkehadapan dalam serba segi. UMNO perlukan satu semangat baru, direjuvinasi melalui proses pemudaan untuk menghadapi dekad-dekad mendatang.

Selaku pemerhati, kita berharap perjalanan pemilihan kali ini dapat dilaksanakan dengan sempurna. Bukan sahaja orang UMNO yang mengikuti proses ini, tapi semua pihak baik dalam dan luar negara juga sedang berbuat demikian. Oleh itu, tatasusila dan ketertiban orang Melayu perlu dijaga.

Namun semasa menganalisis suasana yang berlaku sekarang, terutama dalam era peralihan ini, seorang rakan sempat memetik kata-kata menarik penuh sinis bekas pemimpin UMNO, Sanusi Junid. Beliau berkata dalam loghat Kedah: "Apabila pokok condong, kora (kura-kura) pun nak tumpang keghabat (panjat)." Sama-samalah kita tafsirkan.

Comments

Popular Posts