Harga runcit petrol, diesel turun 15 sen lagi

PUTRAJAYA: Kerajaan semalam mengumumkan penurunan harga runcit petrol dan diesel sebanyak 15 sen seliter, berkuat kuasa hari ini. 

Dengan penurunan itu, yang keempat sejak Ogos lalu, harga petrol RON97 kini RM2.15 seliter, RON92 pula RM2.05 seliter manakala diesel RM2.05 seliter. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam kenyataannya berkata kerajaan mengambil keputusan mempercepatkan pengurangan harga runcit bahan api itu bagi membolehkan rakyat menikmatinya berikutan penurunan ketara harga minyak mentah dunia.


"Oleh kerana harga minyak dunia sudah menurun secara ketara akhir-akhir ini, kerajaan membuat keputusan untuk sekali lagi mempercepatkan pengurangan harga runcit bagi membolehkan orang ramai menikmatinya," katanya. 

Mengikut formula penyelarasan harga bahan api yang dipersetujui sejak penstrukturan semula subsidi minyak 5 Jun lalu, harga runcit petrol dan diesel akan ditetapkan pada setiap awal bulan berdasarkan purata bulanan harga minyak mentah dunia ditolak dengan subsidi kerajaan 30 sen seliter.

Comments

Popular Posts