Macam-Macam : Imej aktres dalam otak




LONDON – Satu kajian saintifik merungkai punca sesebuah drama televisyen popular seperti Friends mendapat sambutan luar biasa daripada penonton, lapor sebuah akhbar semalam.
Penyelidik-penyelidik dari Universiti Leicester, Britain mendapati terdapat beberapa sel otak yang dikhaskan untuk menyimpan imej selebriti terkenal seperti pelakon utama siri televisyen Friends, Jennifer Aniston.



Peminat-peminat Aniston mempunyai sekurang-kurangnya satu sel otak yang bertindak balas setiap kali mereka melihat imej aktres tersebut.

Sel-sel otak yang lain juga bertindak menyimpan memori selebriti yang diminati oleh seseorang individu seperti aktres Halle Berry sehingga kepada bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Bill Clinton.



Kajian itu juga menyangkal teori sebelum ini yang mendakwa satu rangkaian besar sel otak terlibat dalam memproses imej-imej seseorang individu.
Dalam kajian itu, penyelidik-penyelidik mendapati otak manusia mengecilkan proses tersebut dengan beberapa sel otak sahaja bagi menyimpan memori imej individu atau selebriti dan tempat.



Seorang penyelidik, Profesor Rodrigo Quian Quiroga berkata, beberapa bangunan terkenal dunia seperti Menara Pisa di Itali dan selebriti popular termasuk Pamela Anderson, Oprah Winfrey serta Tom Cruise juga terdapat dalam sel otak.



“Seorang pesakit yang mempunyai sel otak yang bertindak balas terhadap imej Aniston mempunyai 19 sel lagi yang bertindak balas terhadap perkara lain,” katanya.

Comments

Popular Posts