Muzik orkestra sayur

MUNGKIN ia kedengaran agak pelik tetapi itulah hakikat yang berlaku. Lebih dikenali sebagai Vegetable Orchestra, kumpulan ini telah memainkan muzik melalui sayur-sayuran selama 10 tahun.

Mereka telah menghiburkan peminat dari Belfast hinggalah ke Hong Kong dengan peralatan yang direka sendiri seperti saksafon timun, bonggo daun salari, trumpet lada dan violin bawang.

Melakar inspirasi daripada artis muzik elektronik seperti Kraftwerk atau John Cage dari Jerman, sebanyak 12 pemuzik dari Vienna mengukir dan memotong alat muzik untuk menghasilkan bunyi organik yang sebenar.
"Konsep ini mungkin membuatkan orang tersenyum, tetapi kumpulan kami unik kerana gubahan muzik dan kesungguhan yang dipamerkan," kata salah seorang ahli Vegetable Orchestra, Tamara Wilheim.

Telah mengadakan sekitar 200 persembahan, kumpulan orkestra tersebut baru sahaja meraikan ulang tahun ke-10 penubuhannya dengan mengadakan konsert di lokasi berprestij, RadioKulturhaus, Vienna sebelum memulakan jelajah di Perancis dan Jerman.

Idea asal penubuhan kumpulan orkestra ini pada awalnya menerusi gurauan sahaja ketika mereka masih bergelar pelajar di sebuah institusi pengajian di Vienna.

"Ia bermula daripada lawak jenaka yang kami perkatakan dan dianggap sebagai cabaran.
"Kemudian, kami menyedari sesuatu yang bercita-cita tinggi adalah tidak mustahil," kata seorang lagi pengasas kumpulan orkestra ini, Joerg Piringer.

Dengan latar belakang muzik, kejuruteraan, rekaan, kesenian plastik dan video, pemuzik orkestra ini mencipta dunia unik dengan menggabungkan sayur-sayuran dan teknologi.

"Kami buat apa yang anda panggil muzik organik elektronik. Tanpa teknologi, terutamanya tanpa mikrofon dan alat pembesar suara, muzik kami tidak boleh wujud.

"Di atas pentas, kami bermain tanpa sebarang kesan prarekod. Jadi, konsert kami masih dirasa seperti persembahan artistik," jelas Wilhelm.

Hasilnya adalah alunan muzik unik yang keluar daripada sayur-sayuran tersebut sekali gus mencipta melodi hipnotik iaitu antara muzik tekno dan lagu yang baik.

"Sayur-sayuran mampu mencipta satu dunia bunyi yang unik dan sukar ditiru dengan apa cara sekali pun," kata Piringer.

Mencipta nyanyian sayur-sayuran merupakan satu proses yang panjang. Setiap persembahan didahului dengan lawatan ke pasar tempatan untuk membeli sayur-sayuran segar sebagai alat muzik.

"Kami memerlukan 70 kilogram (kg) sayur-sayuran segar setiap kali mengadakan konsert dan tiga jam tempoh untuk mengukir 40 jenis alatan muzik yang bakal digunakan," jelas Piringer.

Sesetengah alat muzik adakalanya perlu diganti beberapa kali sewaktu persembahan berlangsung, berdasarkan kekerapan ia digunakan di pentas.

Sudah mempamerkan persembahan di serata tempat seperti Singapura dan Moscow, pemuzik masih perlu mempelajari cara untuk menyesuaikan diri bergantung pada cuaca dan hasil yang boleh didapati di setiap bandar.

"Di Asia, anda tidak boleh menemui lobak putih yang selalu kami gunakan. Di Itali, ia terlalu panas dan di United Kingdom, lobak penuh dengan air dan tidak mempunyai daya ketahanan yang lama," ujar Wilhelm sambil menambah, mereka kini telah mengeluarkan dua cakera padat untuk dijual di pasaran.

"Ia bukan satu perkara yang mudah tetapi ia menjadikan keseluruhan pengalaman sesuatu yang menyeronokkan dan mencabar.

"Ia juga memerlukan kami sentiasa mencari idea baru dalam mempersembahkan alunan muzik dari orkestra sayur-sayuran kami."

Kumpulan orkestra yang telah dilawati oleh hampir dua juta orang menerusi video yang disiarkan di laman web YouTube (
www.youtube.com/user/vegetableorchestra) itu, turut menyediakan sup sayur-sayuran buat peminatnya sejurus selepas konsert berakhir. - AFP

Comments

Popular Posts