Wednesday, November 12, 2008

Rencana : Faktor Melayu masih mundur

TIADA apa yang menghairankan daripada hasil kajian Jabatan Perangkaan Malaysia yang mendedahkan bahawa sebanyak 301,000 isi rumah orang Melayu memperoleh pendapatan di bawah RM1,000 sebulan.

Pendedahan berdasarkan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (HIS) itu hanyalah penegasan berulang bahawa orang Melayu yang merupakan kaum majoriti di negara ini sememangnya jauh ketinggalan daripada sudut ekonomi dengan kaum minoriti lain.
Hakikatnya orang Melayu terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar serta segelintir mereka yang menetap di bandar besar, masih ramai tergolong dalam kumpulan di bawah paras kemiskinan.

Malah, bukanlah sesuatu yang janggal juga jika dikatakan terdapat orang Melayu yang tidak mempunyai pendapatan tetap, serta hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Dengan pendapatan yang tidak seberapa, kemampuan untuk menyediakan sebuah kehidupan yang berkualiti kepada seluruh isi keluarga juga pastinya sangat terhad. Dalam serba kekurangan, ia memberikan lebih cabaran terutamanya bagi keluarga besar, lebih-lebih lagi yang tinggal di bandar serta kawasan-kawasan pinggiran bandar.

Daripada soal makanan, tempat tinggal, pakaian, kesihatan, pendidikan dan pelbagai keperluan asas lain, semuanya terpaksa ditempuh seadanya.

Paling menyedihkan apabila masa depan pendidikan anak-anak juga terpaksa diperjudikan, sementelah ketika ini terdapat pula syarat untuk ibu bapa mencarum bagi pendidikan anak-anak mereka sebelum boleh diberikan pinjaman pendidikan pada masa depan.

Dalam keadaan sudah terbeban untuk meneruskan kehidupan seharian, bagaimana pula untuk ibu bapa ini mencarum bagi masa depan pendidikan anak mereka? Tanpa pendidikan sempurna, maka jalur kemiskinan itu akan beterusan dan diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya.

Di sebalik kenaikan harga barang dan perkhidmatan seperti yang berlaku ketika ini, keadaan sosioekonomi yang lemah tidak boleh mengelak daripada dikaitkan dengan pelbagai isu sosial di kalangan orang Melayu.

Amalan rasuah, merempit di kalangan anak muda, bekerja di lorong-lorong gelap dan pusat hiburan misalnya, adalah senario kehidupan yang boleh dikaitkan dengan desakan kehidupan yang dihimpit oleh kemiskinan.

Tanpa pembangunan ekonomi yang mampan, kelibat orang Melayu di sebalik rencam masalah sosial itu tidak mungkin dapat dihapuskan. Hakikat ini juga meletakkan agenda pembangunan ekonomi Melayu di tempat paling teratas di kalangan pemimpin-pemimpin Melayu.

Kita pastinya berterima kasih daripada apa yang telah diberikan oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB) dalam kedudukan ekonomi orang Melayu ketika ini. Namun sesuatu yang pasti, masih terlalu banyak yang perlu digerakkan dan diperluaskan oleh dasar seperti ini dalam memastikan kuasa ekonomi orang Melayu berada pada kedudukan yang sama pentingnya dengan kuasa politik yang kita miliki ketika ini.

Ironinya, perbincangan mengenai kemelut orang Melayu bukanlah perkara baru, sebaliknya kekayaan kaum bumiputera dengan kaum-kaum lain ini sudah dibuat perbandingan sejak lama dahulu.
Antara hakikat yang perlu diakui meskipun agak pahit untuk ditelan ialah orang Melayu tidak berada dalam kelas ekonomi yang penting menyebabkan agak sukar untuk mereka menentukan perjalanan ekonomi yang lebih besar.

Mengambil contoh dalam piramid jawatan di sesebuah syarikat misalnya, meskipun kuota 30 peratus yang diperuntukkan kepada bumiputera dipenuhi, namun kedudukan orang Melayu itu perlu diteliti.

Hakikatnya, dalam senarai jawatan pengurusan tertinggi sesebuah syarikat korporat, kehadiran orang Melayu sangat kecil. Sebaliknya, orang Melayu lebih banyak berada pada kedudukan jawatan yang lebih rendah. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh modal insan orang Melayu sendiri yang tidak cukup kuat untuk bersaing dengan kaum lain.
Tambahan pula untuk melangkah jauh dalam sektor korporat, orang Melayu perlu menepati kriteria yang sangat tinggi, termasuk latar belakang pendidikan yang cemerlang serta menguasai bahasa Inggeris.

Barangkali disinilah kelemahan kebanyakan tenaga pekerja Melayu, yang meskipun merupakan golongan terpelajar dan lepasan pengajian tinggi, namun tidak mampu berbahasa Inggeris dengan baik sehingga menyempitkan peluang pekerjaan dalam sektor berkenaan.

Kenyataan itu sebenarnya hanyalah sebahagian daripada dilema penguasaan ekonomi orang Melayu, kerana hakikatnya, masih banyak isu yang membelenggu keadaan itu. Antaranya peluang-peluang pekerjaan yang lebih didominasi oleh pekerja asing di sebalik tingginya kadar pengangguran di kalangan orang Melayu.
Begitu juga dengan sikap segelintir industri yang meletakkan kriteria tertentu yang tidak memungkinkan orang Melayu untuk bekerja, selain diskriminasi gaji yang menolak kepada keinginan orang Melayu untuk menceburinya.

Dalam membincangkan tentang agenda pembangunan ekonomi Melayu juga, pelbagai saranan diajukan supaya kek ekonomi negara dapat terbahagi secara sama rata dan tidak hanya dimonopoli oleh kaum tertentu semata-mata.

Antaranya ialah dengan menggalakkan orang Melayu menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

Tidak dinafikan, cabang perniagaan mampu menjana pendapatan yang lumayan. Malah, ia juga digalakkan dalam Islam yang meletakkannya sebagai sembilan daripada sepuluh pintu rezeki.

Bagaimanapun, dunia perniagaan bukanlah sektor yang boleh diceburi oleh semua orang, sementelah senario ketika ini sangat jelas memperlihatkan dominasi atau monopoli kumpulan tertentu sehingga sukar untuk orang Melayu bersaing. Melainkan perniagaan makanan seperti membuka restoran, gerai-gerai kecil atau warung, sukar untuk melihat kelibat orang Melayu sebagai tauke atau bos dalam cabang perniagaan lain.

Sama ada pasar raya, kedai runcit, bengkel kereta, kedai elektrik, kedai perabot dan sektor perniagaan berpotensi lainnya, semuanya dikuasai oleh kaum selain Melayu.
Tanpa ada rangkaian dan jalinan perniagaan yang kukuh, orang Melayu yang cuba merebut peluang perniagaan ini ibarat sengaja mencari musibah, dan tidak mustahil akan gulung tikar dengan cepat.

Barangkali di sinilah pentingnya peranan pertubuhan dan badan ekonomi Melayu dalam memastikan kelangsungan usahawan Melayu dalam cabang perniagaan. Antara yang perlu diberi penekanan ialah mengenalpasti cabang ekonomi yang mampu dikuasai oleh orang Melayu dan memperluaskannya supaya mampu melahirkan lebih ramai usahawan berjaya.

Badan ekonomi Melayu juga perlu menjadi tunjang kekuatan kepada usahawan Melayu sama ada dari segi modal, program menambah nilai keusahawan atau sokongan logistik lainnya.

Namun, seperti yang dijelaskan oleh Dekan Fakulti Sains Gunaan, Universiti Terbuka Malaysia (OUM), Dr. Mohamed Yusoff Ismail, harapan yang disandarkan kepada pertubuhan atau badan ekonomi Melayu itu boleh menjadi sia-sia sekiranya ia tidak dapat dipisahkan daripada pengaruh politik.

Campur tangan politik sehingga mewujudkan amalan korupsi katanya, hanya akan memberikan kekayaan kepada kroni atau sekutu individu yang mempunyai kepentingan politik tertentu, sekali gus menutup rezeki mereka yang sepatutnya lebih layak.
''Amalan pemberian projek kepada kroni dan ketirisan dalam pembahagian kekayaan ini membunuh ekonomi orang Melayu kerana ia hanya akan lebih mengkayakan orang yang sudah sedia kaya, dan yang miskin pula akan kekal miskin,'' katanya.

Kerajaan dalam memberi peluang kepada peningkatan ekonomi orang Melayu turut tampil dengan pelbagai projek mega seperti pembanguan lima wilayah ekonomi atau koridor yang meliputi hampir seluruh negeri.

Koridor itu ialah Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (SCORE) dan Koridor Pembangunan Sabah (SDC), kesemua dengan nilai pelaburan berjumlah hampir RM840 bilion.

Bagaimanapun, perlu dipastikan pembangunan koridor itu juga bebas daripada ketirisan dan amalan ali baba supaya salah satu matlamatnya iaitu untuk mengukuhkan kuasa ekonomi orang Melayu benar-benar tercapai.

Namun, kuasa itu hanya berada di kalangan pemimpin Melayu, dan sebagaimana kejayaan dan kemajuan orang Melayu dalam lapangan lainnya terletak di tangan mereka, begitulah juga dalam soal memperkasakan kekuatan ekonomi orang Melayu.

2 comments:

adie-ishmael said...

Apalah agaknya akan terjadi bila kuasa politik pun sudah tidak ada lagi di tangan orang Melayu nanti...pada masa sekarang kuasa ekonomi dah ada dalam genggaman kaum Cina...hakikat bukan provokasi..kita dah dapat lihat musibahnya...apa lah nasib anak cucu kita ketika itu?Apakah bangsa Melayu masih tega berebut kuasa lagi pada saat itu...?

Anonymous said...

Betul betul