Kesihatan : Kerana kromosom atau pengaruh?

MALAYSIA semakin maju dalam menempuh arus kemodenan. Kejayaan demi kejayaan membuatkan negara terkenal di mata dunia. Namun begitu, di sebalik menikmati arus kemodenan, perubahan sosial masyarakat daripada keruntuhan akhlak dan jiwa semakin membimbangkan banyak pihak.

Ini terutamanya isu gejala seks bebas, ketagihan dadah, mak nyah, bohsia, mat rempit, gay dan pengkid yang rata-ratanya dilakukan oleh golongan muda yang merupakan bakal pemimpin pelapis negara masa hadapan.

Bagi sesetengah pihak, isu tersebut mungkin sudah lapuk dan sukar dibendung lagi. Tetapi, mereka yang mengimpikan negara terus maju tanpa dicela dengan sebarang masalah sosial, pastinya mahu setiap isu sosial ditangani dengan segera.

Misalnya, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang baru-baru ini melahirkan kebimbangan terhadap gejala pengkid yang semakin menular dalam kalangan pelajar. Menyedari situasi tersebut, Muzakarah Jawatankuasa fatwa Majlis Kebangsaan telah mengharamkan perbuatan pengkid.

Pengerusinya, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin berkata, fatwa ini dikeluarkan apabila melihat gejala pengkid dalam kelompok wanita Islam semakin membimbangkan.

"Tabiat ini melanggar tabii dan fitrah. Dalam Islam, sudah termaktub ia tidak boleh dilakukan," jelasnya selepas menghadiri muzakarah dua hari Majlis Fatwa Kebangsaan, di Kota Bahru, Kelantan.

Persoalannya mengapa isu pengkid berlaku? Tidakkah mereka sedar gejala ini salah di sisi agama dan apakah puncanya?

Mengulas isu pengkid, Pensyarah Psikologi di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Mariani Md. Nor berkata: "Jangan menuding jari kepada satu pihak sahaja. Sebaliknya, kaji dan selidik, mengapa remaja perempuan berminat untuk menjadi pengkid."

Pengkid adalah wanita yang cenderung berpakaian, penampilan, kemahuan dan memiliki naluri lelaki. Tidak seperti wanita lain, golongan pengkid berambut pendek dan sanggup memakai bengkung bagi meleperkan payu dara.

"Terma psikologi masalah ini dikenali sebagai endorgen yang mana ia berpunca daripada eksogen (ciri-ciri yang menjadikan mereka pengkid) seperti diri sendiri, keluarga, masyarakat dan persekitaran.

"Mengenai punca daripada diri sendiri, saya dapati golongan pengkid menghadapi kekeliruan jantina dalaman dan mengaplikasikannya secara luaran.

"Tidak boleh dinafikan, jika diteliti dalam bidang perubatan, perempuan dilahirkan dengan kromosom XX. Tetapi, terdapat segelintir anak perempuan mempunyai kromosom XXY yang bermakna terselit kromosom lelaki di dalam diri mereka. Ini menyebabkan berlakunya kecelaruan konflik jantina yang mana secara fizikalnya, mereka memiliki bentuk badan wanita, namun naluri lelaki," jelas Mariani sambil menjelaskan bahawa pengkid juga berpunca daripada kerapuhan pegangan agama.

Seterusnya, Mariani menjelaskan gejala pengkid semakin menular disebabkan kurang bimbingan dan nasihat daripada ibu bapa serta keluarga. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk pembesaran anak-anak. Sekiranya ditakdirkan anda memiliki anak perempuan yang ramai, jangan sesekali mengubah salah seorang anak-anak tadi menjadi anak 'lelaki'.

Elakkan anak itu diberikan layanan, berpakaian, layanan, bercakap, berjalan atau apa sahaja perilaku seperti orang lelaki. Ibu bapa juga disarankan supaya tidak terlalu menggalakkan anak-anak perempuan bergaul dan melibatkan diri dalam aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak lelaki.

"Jika sejak kecil, mereka sudah disemai dengan ciri-ciri lelaki, maka sifat ini boleh berlarutan sehingga mereka meningkat dewasa. Sebab itulah, kebelakangan ini, kita banyak didedahkan dengan berita keruntuhan rumah tangga dengan kehadiran orang ketiga (pengkid). Terdapat juga ibu bapa yang merayu supaya anak gadis mereka pulang selepas dilarikan oleh pengkid.
"Sebagai ibu bapa, mereka seharusnya peka. Sekiranya melihat perubahan fizikal anak perempuan seperti lelaki, segeralah mengambil tindakan. Jangan diherdik atau dipukul, sebaliknya memberi nasihat atau bawa berjumpa pakar kaunseling," katanya.

Mariani juga tidak bersetuju apabila sesetengah ibu bapa terlalu selesa melihat anak-anak perempuan mereka begitu rapat dengan kaum sejenis kerana soal hamil luar nikah pasti tidak akan berlaku.

Selain itu, beliau menasihatkan masyarakat hari ini supaya jangan terlalu stereotaip dengan prinsip hidup yang tidak mahu menjaga tepi kain orang.

"Jika terlihat golongan pengkid melakukan perkara tidak senonoh di khalayak ramai, masyarakat perlu menegur dan memberi nasihat sebagaimana menegur anak sendiri.

Dengan cara ini, ia menggalakkan golongan pengkid menilai kesilapan yang dilakukan sekali gus berusaha untuk kembali ke pangkal jalan.

"Percayalah individu pengkid boleh berubah kerana apabila meningkat dewasa dan masuk ke alam pekerjaan, mereka akan mula memikirkan soal zuriat dan masa depan. Namun begitu, keluarga jangan terburu-buru mengahwinkan mereka, sebaliknya individu pengkid perlu menjalani sesi rawatan dan bimbingan terlebih dahulu.

"Sesi ini penting kerana ia menyedarkan mereka untuk mengenali jantina yang sebenar. Dengan rawatan ini, kemungkinan pengkid akan berkahwin dan melahirkan anak" ujarnya lagi yang menyatakan golongan pengkid yang tidak mendapat rawatan boleh mengalami kemurungan melampau.

Comments

Gidong said…
BUKAN kerna kromoson , BUKAN juga kerna pengaruh tetapi KERNA PILIHAN SENDIRI huhu

Popular Posts