Kesihatan : Perlu fahami HIV dan Aids

KES HIV pertama di Malaysia disahkan pada 1986. Setahun sebelumnya, kerajaan Malaysia menubuhkan Pasukan Petugas Aids Kebangsaan untuk menggubal dasar dan menyelaraskan aktiviti pencegahan dan kawalan Aids.

Hampir tiga dekad sejak dunia dikejutkan dengan realiti Aids, penyakit ini masih tidak dapat dibendung dan statistik 2008 UNAids menunjukkan beberapa maklumat yang perlu diberi perhatian berat.

Apa yang menggemparkan ialah bukan sahaja semakin ramai wanita dijangkiti HIV tetapi juga golongan muda dan kanak-kanak di seluruh dunia. Berdasarkan Laporan UNAids 2008, kira-kira 33 juta orang di seluruh dunia dijangkiti virus itu pada 2007 atau nisbah 1 dalam 180 orang, jika mengambil kira jumlah penduduk dunia seramai enam bilion orang.
Secara keseluruhannya, dianggarkan dua juta orang meninggal dunia kerana Aids pada tahun 2007.


Wanita adalah separuh daripada jumlah mereka yang hidup dengan HIV secara global dan dianggarkan 45 peratus daripada jangkitan baru di seluruh dunia terdiri daripada golongan muda berusia antara 15 dan 24 tahun.


Menurut laporan itu, dianggarkan 370,000 kanak-kanak bawah usia 15 tahun dijangkiti HIV pada 2007.


"Di luar Afrika, bahagian dunia yang menjadi perhatian ialah Asia Selatan dan Asia Tenggara. Sekiranya HIV melanda Asia seperti apa yang berlaku di Afrika, saya fikir keadaan ini akan menjadi lebih teruk daripada krisis kewangan yang kita hadapi sekarang.

"UNAids dan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) juga bimbang dengan perkara ini. Itulah sebabnya mengapa banyak perhatian diberi kepada Asia kerana bahaya HIV boleh meledak di sini," kata Dr. Christopher Lee, Presiden Malaysian Society for HIV Medicine (MaSHM) pada bengkel media mengenai Kanak-Kanak dan HIV dan Aids di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Di negara ini, keadaan juga tidak memberangsangkan. Berdasarkan angka-angka Kementerian Kesihatan, antara tahun 1986 hingga 2007, seramai 80,938 orang diuji positif HIV.

Sehingga 31 Disember 2007, seramai 10,334 diketahui meninggal dunia kerana Aids.
Kebanyakan kes HIV (71.8 peratus) di Malaysia adalah pengguna dadah yang menggunakan kaedah suntikan (IDU).

Kira-kira 36 peratus jangkitan terdiri golongan muda berusia 13 hingga 29 tahun.
Kenaikan yang membimbangkan dilaporkan dari segi jangkitan dalam kalangan wanita dan gadis menerusi hubungan heterosexual.

Pada 1998, hanya enam peratus kes baru HIV yang dilaporkan melibatkan wanita dan gadis. Sepuluh tahun kemudian pada 1997, kes baru HIV yang dilaporkan menunjukkan jumlah jangkitan baru dalam kalangan wanita meningkat kepada 16 peratus.

"Pada satu ketika, IDU adalah punca utama merebaknya jangkitan HIV tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, trend ini telah stabil. Sekarang jangkitan heterosexual (hubungan seksual antara lelaki dan perempuan) secara perlahan menunjukkan peningkatan. Pada peringkat global, hubungan heterosexual adalah cara utama jangkitan HIV dan apabila wanita dijangkiti HIV, kanak-kanak juga akan mendapatnya," kata Dr. Kamarul Azahar Mohd Razali, Perunding Penyakit Berjangkit Pediatrik, Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur.
Mengenai semakin ramai wanita dijangkiti HIV, Dr. Lee yang juga Ketua dan Perunding Kanan Unit Penyakit Berjangkit, Hospital Sungai Buloh berkata, keadaan ini bukan sahaja satu petanda kurang baik malahan trend yang membimbangkan.


"Hari ini, peratus wanita dijangkiti HIV semakin membesar. Daripada angka terkumpul, kira-kira 81,000 yang dijangkiti HIV di Malaysia, 91.5 peratus atau 74,104 ialah lelaki sementara 8.5 peratus atau 6,834, wanita.

"Pada tahun-tahun awal, kadar orang yang hidup dengan HIV di Malaysia ialah 99.5 peratus lelaki dan hanya 0.5 peratus wanita," katanya.

Beliau berkata, sekiranya wabak di Malaysia terus meningkat, faktor utama yang mungkin menyumbang kepada peningkatan ini bukan sahaja pengguna dadah tetapi juga jangkitan menerusi hubungan heteroseksual.


"Kebanyakan daripada kita akan melakukan hubungan seks pada satu peringkat kehidupan kita. Di samping menggunakan kondom, sekiranya seseorang itu monogami, risikonya rendah. Jika tidak monogami tetapi menggunakan kondom, risikonya juga rendah.

"Tetapi sudah tentunya risiko menjadi tinggi dan lebih tinggi sekiranya jumlah virus yang tersebar dalam masyarakat juga tinggi kerana risiko bertembung dengan orang yang positif HIV menerusi pelbagai perlakuan yang berisiko juga tinggi.

"Apabila semakin ramai wanita dijangkiti HIV, itu petanda virus ini mungkin sedang merebak dalam masyarakat yang lebih luas. Sebahagian besar wanita yang dijangkiti virus ini ialah suri rumah tangga. Mereka ini mungkin bekerja tetapi mereka juga isteri dan mendapat virus ini daripada suami mereka," kata Dr. Lee.


Menurut beliau, dibawah Akta Penyakit Berjangkit, doktor yang mendiagnosis kes HIV mesti melaporkannya kepada Kementerian Kesihatan.


"Angkanya mungkin lebih tinggi kerana ada yang tidak mendapatkan rawatan atau bantuan. Kebanyakannya merasa aib untuk berbuat demikian dan kebanyakannya juga pengguna dadah," kata Dr. Lee, sambil menjelaskan IDU juga terlibat dengan pekerja seks.

Menurut beliau, berdasarkan perangkaan yang ada, 74 peratus orang yang dijangkiti HIV adalah IDU, 14.4 peratus kumpulan heteroseksual dan 1.5 peratus MSM (Lelaki Yang Melakukan Seks Dengan Lelaki).

Mengenai rawatan untuk orang yang positif HIV di negara ini, beliau berkata: "Pihak kami telah melakukan yang sepatutnya tetapi masih banyak yang perlu dilakukan. Mereka yang dijangkiti HIV memerlukan rawatan, penjagaan dan sokongan.

"Pada tahun 1992, kami hanya ada dua jenis ubat untuk digunakan bagi merawat mereka yang positif HIV. Paling lama, mereka hidup ialah setahun atau dua tahun. Masuk tahun ketiga, mereka semua meninggal dunia.

"Dengan ubat-ubatan yang kami ada sekarang, dapatlah kami bantu mereka untuk kehidupan yang lebih baik. Menghukum mereka adalah sesuatu yang tidak berperikemanusiaan."
Dr. Lee juga berkata ibu-ibu yang mengandung ditawarkan untuk diuji HIV apabila mereka datang ke klinik. Sekiranya mereka positif HIV, rawatan percuma akan diberikan dan langkah itu akan mengurangkan risiko penjangkitan virus berkenaan kepada bayi mereka.

Comments

Anonymous said…
bagus

Popular Posts