Tuesday, November 4, 2008

Tak jamin harga turun - Kerajaan bertindak la cepat skit

MAJORITI pengguna menyambut baik berita penurunan harga barang keperluan yang diumumkan kerajaan sejak kebelakangan ini sejajar dengan harga minyak yang semakin rendah.

Namun, ada juga yang mempersoalkan kenapa penurunan itu hanya melibatkan harga barangan tertentu di pasar raya besar sahaja.

Mengapa pengguna masih tidak dapat menikmati harga rendah untuk barangan keperluan lain yang dijual di kedai-kedai runcit yang mendominasi kawasan pinggir dan luar bandar?

Jika mengambil kira harga bahan api di negara ini yang telah diturunkan sebanyak 40 sen bagi petrol dan 38 sen bagi diesel dalam tempoh dua bulan lalu, manakala terbaru harga minyak dikurangkan sebanyak 15 sen, situasi itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan kenaikan harga barangan berpunca daripada lonjakan harga bahan api yang diumum kerajaan pada Jun lalu.

Ketika soalan ini diajukan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad baru-baru ini, menjelaskan masalah itu berlaku kerana peniaga masih menjual stok barangan yang dibeli pada harga sebelum penurunan harga minyak.

Justeru, katanya, kesan penurunan harga bahan api itu akan dinikmati sepenuhnya oleh rakyat dalam masa beberapa bulan lagi.

Bagaimanapun, Prof. Dr. Mohd Fauzi Mohd Jani dari Universiti Kebangsaan Malaysia, melahirkan keraguan harga barangan akan turun banyak, atau kembali kepada harga yang dinikmati pengguna pada tahun 2007, sekalipun harga petrol dan diesel terus turun.

Ini kerana, katanya, terdapat banyak faktor yang mempengaruhi harga barangan di pasaran, dan bahan api hanya satu daripada komponen dalam proses pengeluaran produk.

"Komponen bahan api merangkumi sekitar 40 peratus daripada proses pengeluaran dan ini merujuk kepada pengangkutan, sedangkan ada banyak faktor lain dalam proses pengeluaran ini," kata Mohd Fauzi, Dekan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi UKM.

Antaranya ialah faktor tenaga kerja, ketidaktentuan pasaran global serta lokasi.

"Selain itu, struktur pasaran kita juga mempengaruhi harga. Ini kerana terdapat unsur monopoli pada setiap peringkat pasaran seperti pemborong dan peruncit.

PASAR raya besar telah mula menurunkan harga beberapa barangan tetapi bagaimana pula harga barangan di kedai runcit. - Gambar hiasan

"Unsur monopoli ini merujuk kepada jumlah peniaga yang tidak ramai sekali gus memberi mereka kuasa untuk menentukan harga. Misalnya peruncit, kita tengok tak ramai peruncit di satu-satu kawasan dan biasanya harga barangan di kedai-kedai mereka tidak jauh berbeza dan ini mungkin disebabkan mereka mengambil barangan daripada pembekal yang sama," katanya.

Cuaca juga mempengaruhi harga pasaran khususnya bagi produk segar seperti sayuran dan ikan.

Mohd Fauzi juga berpandangan, sekarang adalah tempoh untuk peniaga memperoleh semula margin keuntungan mereka yang hilang sewaktu harga petrol dan diesel dinaikkan.

"Saya tidak mengatakan sekarang ini mereka mengaut keuntungan besar sebab kita perlu mengambil kira bahawa semasa harga minyak dinaikkan dulu, ada yang terpaksa menyerap sebahagian daripada kos, kerana peniaga kecil tidak mampu membayar harga yang terlalu tinggi untuk mendapatkan bekalan.

"Jadi, bagi memastikan pengguna tetap memperoleh barang keperluan, peniaga terpaksa menanggung sebahagian daripada kos itu dan ini telah mengurangkan margin mereka," katanya.

Mohd Fauzi berpendapat, peniaga tidak akan terburu-buru menurunkan harga barangan sekalipun harga minyak di pasaran dunia kini telah jatuh hampir 60 peratus dalam tempoh tiga bulan lalu.

"Ini kerana keadaan pasaran dunia sekarang yang tidak menentu meningkatkan risiko dan pengusaha tidak akan bertindak terburu-buru untuk bergerak dengan harga semasa," katanya.

Penganalisis ekonomi kanan Bank Islam Malaysia Bhd, Azrul Azwar Ahmad Tajudin, berkata, pengguna sepatutnya sudah menikmati harga barangan yang rendah memandangkan harga petrol dan diesel masing-masing telah diturunkan sebanyak 40 sen dan 38 sen masing-masing sejak Ogos lalu dan terbaru, 15 sen.

"Mungkin betul pandangan bahawa ada peniaga yang terpaksa menyerap kos berlebihan semasa harga bahan api dinaikkan dahulu, tetapi saya berpendapat, peniaga sudahpun dapat memperoleh semula margin mereka dalam tempoh dua bulan ini," katanya.

Azrul Azwar berkata, bahawa dalam kes-kes tertentu, berlaku perbuatan pengambilan untung berlebihan.

"Kerajaan perlu mengawasi perkara ini kerana tempoh dua bulan adalah satu jangka masa yang lama untuk peruncit dan pembekal mendapatkan semula margin keuntungan mereka," katanya.

Beliau hairan kenapa hanya harga barangan tertentu yang diturunkan sedangkan kenaikan harga minyak melibatkan semua barang.

"Walaupun beberapa pasar raya besar telah menurunkan harga beberapa barangan, ini hanya memberi manfaat kepada pengguna di bandar.

"Bagaimana dengan pasar mini dan kedai runcit di pinggir bandar dan di luar bandar? Terdapat ramai pengguna mendapatkan bekalan harian mereka dari kedai-kedai ini yang masih menjual pada harga lama," katanya.

Untuk membolehkan rakyat benar-benar menikmati hasil daripada penurunan harga minyak, Azrul Azwar mencadangkan agar kerajaan menurunkan harga minyak dalam kadar yang besar.

"Saya rasa 50 sen akan memberi kesan dan bukan menurunkannya 10 atau 15 sen setiap kali," katanya.

Pada masa ini, harga minyak di pasaran dunia ialah AS$62 (RM217.00) satu tong berbanding AS$147 (RM514.50) setong pada Julai lalu.

Penganalisis mengunjurkan harga itu akan terus jatuh selaras dengan krisis ekonomi global sekarang.

No comments: