Rencana : Bush paling dibenci dalam sejarah moden

KETIKA Amerika Syarikat (AS) dan dunia dilanda Obamamania, tidak ramai yang mahu mengucapkan selamat tinggal kepada George W Bush. Tidak banyak terima kasih dan pujian yang diucapkan kepada bekas Presiden AS itu yang tergolong di antara yang paling tidak popular dalam sejarah. Bush yang menjadi rakyat biasa semula Selasa lalu, selepas lapan tahun memimpin negara kuasa besar tunggal dunia itu cuba menyelamatkan legasinya dengan menyentuh dalam ucapan selamat tinggalnya 15 Januari lalu, mengenai sumbangannya menjadikan Amerika selamat semula selepas serangan pengganas pada 11 September 2001. Beliau mengingatkan Amerika mengenai hampir 3,000 orang yang mati dalam serangan ke atas bangunan Pusat Dagangan Dunia di New York dan mengenai keperitan yang ditanggung oleh keluarga mangsa.

"Selepas beberapa tahun berlalu, kebanyakan rakyat Amerika mampu kembali kepada kehidupan seperti sebelum 9/11 – tetapi saya tidak dapat berbuat demikian. Setiap pagi saya diberi taklimat mengenai ancaman yang dihadapi negara kita. Saya sudah berjanji untuk melakukan apa yang terdaya untuk membuatkan Amerika selamat semula," kata Bush dalam ucapan selama 13 minit di Rumah Putih itu. Jelas mesej yang mahu disampaikan oleh Bush ialah beliau harus diingati sebagai presiden yang mengembalikan keselamatan Amerika. Malah, seperti ditegaskan oleh seorang pengulas dalam akhbar perdana di Amerika Syarikat, selepas tragedi 9/11 dan selepas Afghanistan dan Iraq diperangi serta ratusan suspek pengganas dipenjarakan di Teluk Guantanamo, tidak ada seorang pun rakyat negara kuasa besar itu terkorban akibat serangan pengganas di bumi Amerika sendiri.

Pengulas itu berkata jika sebuah tugu peringatan dibina bagi mengingati Bush, kata-kata ini harus diukir di atasnya: "Bush memelihara keselamatan kita. Alangkah indahnya kita sekarang dapat keluar bekerja, pergi ke sekolah dan bersiar-siar dan dengan yakin menyedari bahawa tidak ada bom yang akan meletup di depan kita," tulis pengulas itu. Apakah benar Bush perlu dipuji kerana tidak ada seorang pun rakyat Amerika terkorban di negara mereka akibat serangan pengganas sejak 9/11? Bukankah ramai rakyat Amerika terkorban di Iraq dan Afghanistan kerana Bush menghantar tenteranya di sana untuk memerangi pengganas? Apakah ini bukan yang dimahukan pengganas?
Apa sekalipun usaha yang dibuat Bush dan penyokongnya untuk mempengaruhi 'ahli sejarah' agar menulis legasi yang indah bagi mengingati bekas presiden dari Texas itu, nampaknya sudah terlambat. Suka atau tidak suka, wartawan Iraq Muntadhar al-Zeidi sudah membantu kebanyakan ahli sejarah dalam menentukan legasi Bush iaitu seorang yang dibenci bukan hanya di negaranya tetapi juga di kebanyakan tempat di seluruh dunia. Imej Bush dilempar kasut akan disimpan oleh kebanyakan orang berhubung Presiden Amerika ke-43 itu.

Harapan tinggi dihimpun ke atas bahu presiden baru, Barack Hussein Obama oleh masyarakat antarabangsa banyak berpunca daripada keinginan mahu melihat Amerika kembali sebagai negara yang dianggap kawan. Amerika yang menjadi contoh nilai baik kemanusiaan yang banyak memperjuangkan keadilan dan kebebasan di seluruh dunia. Dengan harapan ini kita ucapkan 'Selamat Kembali Amerika.
' Penulis ialah Pengarang Luar Negara, Berita Harian

Comments

Popular Posts