Saturday, April 11, 2009

Dairi : Bergelap 60 minit by Kosmo

HARI ini genap dua minggu kempen Earth Hour berlalu. Namun bahang kempen yang dianjurkan oleh Dana Hidupan Liar (WWF) Malaysia masih dirasai dan hangat diperkatakan.

Masing-masing teruja dalam menjayakan kempen yang berhubung kait dengan alam sekitar di muka bumi itu.

Biarpun hanya disarankan mematikan suis lampu selama satu jam tetapi segelintir masyarakat mengambil inisiatif lain seperti tidak menggunakan kenderaan sepanjang kempen tersebut.

Kempen itu berjaya menjadikan kualiti udara bertambah baik kerana tidak dikotori dengan pengeluaran tenaga elektrik, haba dan kepulan asap yang banyak.

"Menutup lampu selama 60 minit adalah simbolik dalam memberi kesedaran kepada orang ramai supaya mengurangkan penggunaan tenaga elektrik.

"Fikirkan berapa banyak haba dan tenaga elektrik dapat dikurangkan apabila penduduk dunia mempraktikkan langkah yang sama. Sudah tentu isu pemanasan global dapat dikurangkan sebelum mencapai tahap membimbangkan," jelas wakil selebriti Astro Earth Hour, Sarimah Ibrahim, mengenai relevan kempen yang berlangsung pada 28 Mac lalu.

Sarimah mengakui dia gembira melihat sejumlah bangunan dan kawasan perumahan di Lembah Klang mematikan suis lampu tanda sokongan.

Malah pada malam tersebut, Sarimah sekeluarga menikmati hidangan makan malam di sebuah restoran yang tidak menggunakan tenaga elektrik yang banyak.

Ketika dihubungi Kosmo!, pengacara Diari AF dan Diari INT Akademi Fantasia 7 itu lebih selesa berbicara mengenai pasca kempen Earth Hour.

"Pelbagai soalan bermain dalam fikiran saya ketika ini. Adakah sikap menjimatkan tenaga elektrik hanya berlaku sepanjang tempoh kempen sahaja? Bagaimana pula selepas ini? Saya harap setiap individu janganlah mengambil sikap sambil lewa. Sebaliknya, teruskan sikap ini selamanya," kata Sarimah yang turut menyatakan walaupun menutup suis lampu nampak remeh, tetapi ia sebenarnya membawa perubahan besar dan bermakna pada bumi.


Pada masa yang sama, Sarimah menggesa orang ramai supaya tidak lupa mematikan suis komputer dan kurangkan penggunaan kereta sekiranya ingin pergi ke destinasi jarak dekat.

"Biarpun agenda bergelap hanya berlangsung selama sejam dan setahun sekali tetapi ia merupakan misi positif menyelamatkan bumi.

"Diharapkan kempen Earth Hour ini dapat memberi kesedaran dan menyemai rasa prihatin masyarakat terhadap 'kesihatan' bumi," jelas Pengarah Projek Earth Hour, Devan Subramaniam yang gembira kerana kempen Earth Hour meraih pelbagai sokongan daripada masyarakat tempatan.

Earth Hour merupakan kempen tahunan yang diasaskan oleh Dana Hidupan Liar (WWF) Sydney, Australia sejak dua tahun lalu. Biasanya, ia dianjurkan pada hari Sabtu terakhir bulan Mac.


Pada tahun pertama kempen, WWF mendapat sambutan menggalakkan apabila dua juta rakyat Australia mematikan suis lampu sebagai tanda sokongan manakala pada tahun 2008, kempen itu menyaksikan penyertaan lebih daripada 50 juta penduduk dari seluruh dunia.

Rutin kempen itu cukup mudah kerana individu, perniagaan, kerajaan dan komuniti hanya perlu mematikan lampu selama sejam iaitu dari pukul 8.30 malam hingga 9.30 malam.



 

Ia sejajar dengan matlamat kempen mengurangkan penggunaan elektrik dan pembebasan karbon dioksida yang boleh mengancam rumah hijau dan pemanasan global yang semakin meningkat.

"Tahukah anda, pemanasan global boleh mencairkan glasier dan meningkatkan tahap air laut setinggi beberapa puluh sentimeter.

"Beberapa tahun kebelakangan ini iaitu pada setiap kali musim panas, ais di Artik cair sebanyak 40 peratus. Paras laut pula naik setinggi 10 hingga 20 sentimeter," jelas Devan yang berpendapat pemanasan global dapat diatasi dengan penjimatan tenaga elektrik dan mengurangkan penggunaan kenderaan.

Ternyata saranan Earth Hour menutup lampu selama sejam berjaya menarik perhatian orang ramai tanpa sebarang rungutan dan bantahan.

"Sebaik sahaja kami mengumumkan pelancaran kempen Earth Hour, tiada siapa membantah, malah banyak yang beri sokongan.

"Bagi menjayakan Earth Hour, hampir 400 bangunan dan mercu tanda ibu kota seperti Jambatan Pulau Pinang, Menara Taming Sari Melaka dan Jambatan Putrajaya secara sukarela memadamkan lampu" jelas Devan ketika ditemui Kosmo! di ibu pejabat WWF Malaysia di Petaling Jaya.

Kota raya Kuala Lumpur adalah antara 1,000 bandar di dunia yang tidak terkecuali menyaksikan kehebatan kempen Earth Hour.

Tepat pukul 8.30 malam, Menara Berkembar Petronas (KLCC) yang sebelum ini bersinar dengan simbahan cahaya lampu gelap gelita.

Situasi yang sama dilihat di Menara Kuala Lumpur.

"Isu pemanasan global jangan dipandang ringan. Jika kita tidak menanganinya dengan bijak, tidak mustahil suatu hari nanti manusia bakal berhadapan dengan masalah kemarau dan cuaca yang tidak baik.

"Justeru atas rasa tanggungjawab, kami bersetuju melaksanakan objektif kempen Earth Hour," kata Pengurus Besar, Jabatan Perhubungan Awam dan Acara, Menara Kuala Lumpur, Nasharudin Mohd. Nor.

No comments: