Tuesday, November 2, 2010

Kembara Foto:Menara Condong,Teluk Intan






Salah satu dari tarikan utama pelancong ke Teluk Intan ialah Menara Condong Teluk Intan. Menara ini telah dibina oleh arkitek cina En. Leong Choon Cheong dan berfungsi sebagai tangki simpanan air untuk bekalan penduduk sekitar disamping berfungsi sebagai jam.

Pada masa ini menara ini tidak lagi berfungsi sebagai tangki simpanan air namun jam tersebut masih lagi berfungsi dan akan berbunyi setiap 15 minit. Kawasan sekitar menara telah diturap dengan bata dan dijadikan sebagai plaza untuk pelbagai aktiviti di samada aktiviti rasmi atau tidak rasmi.
                                                                                                                                                                                                               
Jalan di tengah-tengah Bandar Teluk Intan telah dinamakan sebagai Jalan Ah Cheong sempena memperingati sumbangan En. Leong Choon Cheong yang telah membina menara tersebut. 


ANGGARAN KOS:
Tidak diketahui. 

TAHUN DIBINA:
1892 

ARKITEK:
 Tidak diketahui tetapi mengikut rekod “A Hundred Years Of Ceylonese In Malaysia and Singapore” (1867-1967), Mr. S. Sabapathy (Asst. Engineer), P.W.D. Teluk Intan, membantu dalam pembinaan ini. 

SENARAI PENDERMA:
Kontraktor Cina yang dikenali sebagai Leong Choon Cheong dan kontraktor Ceylon telah membina dan penderma utama.
Dermaan daripada penduduk tempatan untuk membeli Jam Berkunci dari London buatan Firma J.W. Benson – Ludgatehill London.
TUJUAN DIBINA:

Melalui kajian yang dibuat terhadap Menara Jam Condong yang dahulu dikenali sebagai Jam Tinggi, tujuan dan motif pembinaannya seperti berikut:
  • Sebagai keperluan memadam api sekiranya berlaku kebakaran.
  • Sebagai tangki air untuk penduduk bandar sekiranya berlaku kemarau   
  • Memperingati jasa pentadbir (Pentadbir British)
  • Sebagai penentu waktu “Time Keeper” dan mercu tanda bandar Teluk Intan.

SEJARAH PEMILIKAN:

Walaupun kontraktor Leong Choon Cheong berusaha membina menara jam ini dahulu, namun tidak dapat dinafikan bahawa pihak British adalah pemilik dan pentadbir ketika itu.  Selepas mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, menara jam ini secara automatis menjadi milik negara dan kini ia dibawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.  Semasa pemerintahan Jepun, bangunan ini telah digunakan pula oleh askar-askar Jepun sebagai menara kawalan bagi memerhatikan musuh. 

SEJARAH PENGGUNAAN / PENYEWAAN:
1940                                      - Pejabat Pengakap di tingkat 2.
1977 hingga 1992 - Pejabat Cawangan Perancang Keluarga (National Family Planning Board) 
DISKRIPSI GAYAPURA:

Setelah diteliti, didapati pengaruh senibina Cina yang paling kuat pada Menara Jam Condong.  Ini adalah kerana ia berkonsep sebuah “Pagoda”.  Walaupun pembinaannya pada zaman pemerintahan British, namun pengaruh Cina, penderma dan kontraktor telah berjaya dalam memperjuangkan budaya untuk dihayati. Ini jelas didapati pada fasad bangunan menara jam ini seperti gerbang, bumbung genting dan hiasan jubin dan sebagainya yang menunjukkan kekayaan budaya dan senibina Cina. 

Dari luar kelihatan seolah-olah menara jam ini adalah bangunan 8 (Lapan) tingkat; sebenarnya hanya terdapat 3 (Tiga) tingkat sahaja.  Menara jam ini memiliki 110 anak tangga yang menghubungkan setiap aras yang tingginya 15.5 kaki.  Kekayaan senibina yang diperbuat daripada struktur kayu dan batu; terdapat setiap tingkap dilengkapi dengan lorong jalan 6 (Enam) kaki lebar berdindingkan tembok rendah 2 (Dua) kaki yang dihiasi dengan batu berwarna hijau. Ketelitian senibinanya dan perancangan ruang dapat dilihat dari adaptasi kegunaannya sebagai tangki air ditingkat 3 (Tiga) yang diperbuat dari kepingan keluli setinggi 16 kaki  dengan muatan 680 kaki padu.  Lapisan bawah bangunan ini berukuran garis pusat 43 kaki dan menguncup ke atas 27 kaki. 


FAKTOR KECONDONGAN:

Bangunan tersebut didirikan di atas struktur tanah yang lembut disamping itu terdapat bebanan tangki yang menakung air yang telah menyebabkannya condong sedikit ke arah barat laut.



No comments: