Raya masa kecil vs raya masa besar


11 Oktober 2008 : 6.20am. Salam semua, dah lama rasanya tak menulis, tak sempat sebab sibuk dan penat. Hari ini hari sabtu, malasnya nak bangun tapi tak pastila, tetiba malas nak tidur balik. Mungkin malam tadi tidur awal, kalau ikutkan jarang bangun awal-awal ni nak-nak kalau cuti. Inilah masa berehat. Subuh yang hening sekarang, senyap jer, cuma bunyi cengkerik. Tetiba saja rindukan kampung. Huhuhuhuhu. Seronoknya bila ingat-ingatkan semula nostagia raya hari, dan sebab itu, aku nak cerita pengalaman masa kau kecil-kecil sambut raya di Kampung Jorak, Muar, Johor.

Banyak betul perbezaan raya masa kecil dengan dah besar gemuk sekarang ni. Bila diingat balik umur aku dah 25 tahun, dah cukup tua. Calon takda lagi ni. Sasapa nak masuk meminang, marila. Silakan. Hahahaha. Berbalik pada sambutan raya, terdapat pelbagai perbezaan ketara antara raya masa kita sebagai kanak-kanak dan apabila dah dewasa. Aku tak nak sentuh pasal perbezaan antara raya dulu dan sekarang. Itu kisah lain.

Masa kecil-kecil dulu, puasa bukan suatu yang diikuti sabagai tanggujawab, tapi lebih kepada mengejar ganjaran duit raya dari ahli keluarga. Walaupun idea itu tak bagus dari beberapa segi, ganjaran berbetuk wang adalah mainan yang paling cekap untuk kanak-kanak untuk berpuasa. Sehari RM 1, semua nak. Kadang-kadang terdapat waktu macam dah nak mati pun sebab letih dan penat, teruskan saja, kerana duit. Kecik-kecil dah mata duitan,hahahaha.

Bila nak dekat raya, kitala paling seronok, baju baru, kasut baru, topi baru, seluar baru, semua dah digayakan depan cermin awal-awal, memikirkan bertapa "machonya" diri sendiri bila berjalan satu Muar dengan baju baru yang dipakai. Berjalan satu rumah dengan berkasut baru, akhirnya kena kejar dengan nenek sebab berkasut dalam rumah. Indahnya masa tu.

Bila malam tujuh likur sampai, berpeluh badan menahan panas mencari buluh untuk dibuat pelita. Seingat aku, kiraan ganjil mesti digunakan dalam bilangan pelita yang digunakan. Selalunya 21 biji pelita digunakan, tak pasti kenapa. Setiap tahun memang tugas aku, dari sebelum sekolah, sampailah sekolah menengah. Tapi tahun lepas-lepas ini, jarang dah pelita dipasang, bukan sebab apa, harga minyak gasolin mahal. Terpaksala biarkan saja tradisi untuk budget lain.

Lepas main mercun, selalunya aku jalan-jalan dengan kawan satu kampung, kononnya mencari keberkatan lailatur qadar. Bila ingat balik, nak gelak pun ada, sepatutnya malam itu kita sekawan sepatutnya beribadat, tapi kami sekawan kononnya penyiasat paranormal, mencarila sesuatu yang kami tak tahu boleh jumpa pada masa tu. Masuk sana, masuk sini, mencari benda yang tak pasti. Zaman kanan-kanak, memang seronok dan kadang-kadang tak masuk akal pun ada.

Pakcik, makcik, sepupu, saudara mara mula mula menuhi ruang rumah kat kampung, masa tu memang seronok yang amat sangat. Dah berkumpul. Masa itu ada 3 kelompok besar dalam keluarga aku, kumpulan makcik-makcik yang asyik pot pet pot pet, golongan pakcik-pakcik yang asyik hilang saja dan kami kanan-kanak yang asyik main saja. Pernah sekali dekat 50 orang dalam rumah kat kampung tu, nak mandi pun kena beratur, huhuhuhu. 

Selalunya bila raya, kami kanak-kanak memang dah dibahagikan tugas. Setiap tahun kerja aku, nyalakan api untuk rebus ketupat. Jadi, pagi tu , kumpulan kami dah cari kayu dan sediakan tapak. Dalam pukul 10 malam, ketupat akan direbus bila api dah sedia. Selain itu, tugas wajib aku mengisi beras dalam ketupat. Bukan main sumbat saja, ada sukatan dia, nak tahu tanya aku, boleh aku ajar. Tapi yang sedihnya, sampai sekarang aku tak pandai mengayam ketupat. Pandai makan saja.

Seawal 7 pagi kami semua dah bangun, yang kumpulan makcik-makcik selalunya tak tidur langsung, sampai ke pagi mengomel. Jadi, kaum Adam akan mandi dulu sebab akan ke masjid untuk sembahyang raya. Berebutlah, ni nak mandi dulu, dia nak mandi dulu, tapi ada juga yang malas mandi. Lepas mandi, mak akan pakaikan baju dan sampin. Masa tulah nak carik butang, tertukar songkok dan lain-lain perkara remeh terjadi. Johor memang agak bergaya sikit orangnya, memasing pakaian lengkap. Sampai sekarang pun. Macam di KL, tak ramai pakai pakaian lengkap. 

Masa di masjid, biasalah, lepas sembahyang raya kami kanan-kanak ni tak dengar pun khutbah. Masing-masing dok melepak kat luar buat bising, nanti datangla AJK masjid memarahi kami kalau buat bising. Bila kali kedua datang, nampak dari jauh nak sampai, semua lari bertempiaran. Lepas tu sambung buat bising balik. Nakalkan aku masa kecil-kecil. Lepas sembahyang kami sekeluarga akan ke kubur nenek. Sayang sangat nenek aku.

Inilah masa yang ditunggu, ganjaran; duit raya. Semua dah sedia. Besar saja tapak tangan memasing. Asyik senyum lebar dengan berulang kali cakap nak duit raya. Seronok masa tu. Kalau tak bagi, merengekla, mana sepupu yang dah kerja jadi mangsalah. Macam biasalah, sebelum aktiviti salam-salaman berlaku, kami sekeluarga balun semua ketupat, kuah kacang kacang, rendang, ayam masuk merah, kuah lodeh dan lain-lain yang dah sedia terhidang oleh kaum-kaum hawa. Lepas dapat duit raya memasing menunjuk-nunjuk. Yalah, bukan selalu dapat. Setahu sekali.

Dalam pukul satu tengahari lepas beraya rumah saudara mara terdekat dan jiran, kami satu kumpulan dah besedia bertempur. Mencari duit raya adalah aktiviti wajib buat kita orang. Hahaha. Memang gelak sakan bila dikenang, kitaorang main redah rumah sapa-sapa saja. Bila dapat banyak, seronok, bila dapat sedikit, masing-masing bengang. Baik tak payah masuk. Itulah pemikiran aku masa kecil-kecil dulu, beraya sebab nak dapat duit raya. Selalunya misi akan habis dalam pukul 5. Bolehlah pulangan yang dapat hari tu.

Selalunya malam raya pertama, kami akan berkumpul, makan besar. Bergelak ketawa. Macam kami kumpulan kanan-kanak akan main mercun, bunga api dan sebagainya. Mainlah setakat mana yang termampu. Selalunya kalau malam kitaorang main kejar-kejar dalam gelap, tak pun main buaya-buaya; pernah dengar? Ingat lagi, salah satu mercun, masuk dalam kain batik salah seorang sepupu aku, kalut masa tu.

Raya kedua, wah!!!!!!!, inilah saat yang ditunggu oleh kami kaum kanak-kanak, beraya di bandar Muar dengan pakaian baru tahun ini. Kami semua kaum kanak-kanak ini dah menunjukan baju masing-masing, warna merah, biru, coklat, semuanya adala. Seronok masa tu, masing-masing nak menang dalam bergaya. Paling mengelikan hati, nak elak lecak, yalah, dah duduk kampung, bila dah hujan, sesetengah tempat tu memang teruk. Terpaksa jenjeng seluar. Ada tu yang sayang kasut, bungkus dulu, dah sampai baru pakai. Masa dulu naik bas. Bila naik bas, penuh budak-budak macam kami. Selalunya dekat Muar, kitaorang akan makan KFC atau Mcd, lepas jalan-jalan, kami balik. Tak payah nak fikir apa-apa.

Raya ketiga, semua dah mula berkemas, mana yang akan balik ke rumah mertua, dah bertolak dari pagi. Selalunya keluarga aku lepak lama. Hari keempat selalunya lenggang dah. Ada yang ada pun mesti keluar. Sedih juga masa tu, masing-masing balik tu. Yalah, kawan sepermainan. Tu yang tak sabar-sabar nak tunggu tahun depan.

Kini, pengalaman tu dah tak ada. Sejak nenek meninggal semasa aku tingkatan 3, tak ramai nak balik dah, sekali sekali saja. Makin lama semakin takda. Aku pun cuma sambut sekeluarga. Rindu masa tu. Raya tahun ini, aku balik kampung, boleh baca di sini , terdapat banyak gambar. Tengokla. Lepas berbincang dengan salah seorang sepupu aku, tahun depan mungkin kami akan buat balik macam dulu. Harap-harap jadila.


Comments

Zharif said…
best baca citer raya awak kecik2 dulu. skit2 nak sama la.. bila nenek n atuk da takde, susah nak berkumpul semua adik beradik kan... kecik2 dulu time dpt duit raya, sy dgn sepupu yg lain buat satu operasi yg dinamakan Operasi Poket Kembung(OPK) means; bila dapat duit raya kan semua sumbat kat poket baju melayu.. so sape paling kembung poketnya dia la yg paling gempak hehehe.. oh yer.. bab mandi ikut giliran tu, sy beramai2 mandi bogel sama2.. hiks ape nak malu, semua blom sunat lagi haha
FK said…
Memang best raya masa dulu. Sekarang dah tua ni, paham-paham jer la

Popular Posts